Mencari Redha Ilahi

A

Pages

Sunday 6 November 2011

Darah Perjuangan (episod: 2)

                      
episod 1 : click here




             Penutup botol Ice Lemon Tea atau Bahasa Melayu disebut teh limau ais itu dibuka. Dia meneguk teh itu perlahan-lahan. Kesegarannya begitu terasa di tekak. Kebetulan pula hari ini cuaca sangat terik. Mujurlah seorang pelajar perempuan memberinya sebotol teh limau ais.


                    Siapakah dia? Atiqa? Afiqah? Entahlah. Dia sendiri tidak pasti siapakah orangnya dan apa tujuan dia memberikan sebotol minuman kegemarannya. Apa yang Rayyan tahu hanyalah ucapan ringkas 'terima kasih'.

                    Puan Amalina Azmi, guru mata pelajaran Sejarah masuk ke kelas 4 Aristotle.

                    "Bangun semua!", ketua kelas melontar suara.

                    Kelas riuh dengan bunyi kerusi ditolak. "Assalamualaikum, cikgu!", ketua kelas memberi salam dan diikuti oleh ahli kelas yang lain.

                    Seusai memberi salam, mereka duduk di tempat masing-masing. Rayyan memusing badan ke belakang untuk mengambil buku Sejarah di dalam beg. Tiba-tiba matanya berpinar-pinar. Dia memejam mata sebentar bagi menghilangkan kesakitan kepala.

                   Mata dibuka semula. Dia tersentak. Banyak air mengalir masuk melalui tingkap dan memenuhi kelas. Dia berlari ke luar kelas. Namun, mereka yang lain tidak berganjak dari tempat duduk malah memerhatikan Rayyan dengan pandangan yang pelik.

                   "Lari! Lari! Nanti lemas", jeritnya. Rakan-rakan dan Puan Amalina tetap tidak beralih. Mereka tertanya-tanya sesama sendiri.

                   "Rayyan! Kamu nak pergi mana?", tanya Puan Amalina.

                   "Keluar kelaslah. Cikgu tak nampak ke air dah penuh tu? Saya tak nak mati lemas".

                   "Apa yang kamu merepek? Cepat masuk!", beliau mula hilang kesabarannya.

                   Kelas menjadi riuh-rendah. Rayyan tidak mengendahkan arahan Puan Amalina. Dia berlari semahu-mahunya. Apa yang Rayyan lihat, air itu seolah-olah mengejarnya. Puan Amalina segera menelefon nombor pengetua.

                    Di suatu sudut, seseorang tersenyum senang melihat situasi itu. Dialah yang telah memasukkan pil khayal dalam minuman Rayyan.

                    *****************************************

                     Rayyan kamu tinggal baik-baik kat sini ye", Datin Seri Paridah iaitu mama kepada Rayyan menangis teresak-esak. Beliau mengusap rambut anak tunggal kesayangannya. Tampak jelas kesedihan dalam mata Dato' Seri Hassan. Namun, apakan daya.

                     "Papa, mama. Rayyan tak gila! Tolonglah percaya cakap Rayyan!", rayu Rayyan. Dia tidak sanggup ditinggalkan di Tanjung Rambutan ini. Lebih-lebih lagi, dia memang waras akal fikirannya. Hanya kerana dianiaya, Rayyan terpaksa menanggung derita.

                      Suasana ketika mula-mula ditinggalkan oleh ibu bapanya masih segar dalam kotak fikirannya walaupun sudah 2 minggu berlalu, dan sepanjang 2 minggu itulah, dia tidak bertegur sapa dengan ahli sebiliknya.

                       "Assalamualaikum, saudara", Rayyan tersentak. Rakan sebiliknya memberi salam! Eh, orang gila pun boleh beri salam kah?

                       Otak nakal Rayyan berfikir, "Eh bagus juga layan orang gila ni. Boleh kacau dia. Tak adalah bosan sangat".

                       "Waalaikumussalam", Rayyan membalas sambil tersengih. Orang muda itu juga senyum kembali.

                      "Dua minggu aku tengok kau termenung je. Tak solat?"

                      "Solat? Eh! Kau bukan gilakah?", Rayyan terkejut. Tidak mungkin orang gila juga tahu tentang solat.

                     "Sejujurnya, kalau kau pandang muka aku, kau rasa aku gila kah?", dia bertanya kembali.

                     Rayyan merenung tepat wajah lelaki itu. Putih berseri seolah-olah tiada dosa. Bercahaya. Riak wajahnya tenang. Dahinya hitam, mungkin kerana kesan sujud. Bicaranya fasih. Tiada tanda dia diserang sakit mental. Rayyan menggeleng menidakkan.

                    ****************************************

      bersambung..................

episod 3 : click here
 by: Nazrah El Husna

0 comments:

Post a Comment